LAWATI WEBSITE TERBARU PERTUBUHAN AMAL FIRDAUSI (PAFI) di www.amalfirdausi.org

ARTIKEL


NGO Populis.. Perjuangan Hanya Pada Nama


Oleh : Hamli Bin Hamdan 
Presiden Pertubuhan Amal Firdausi (PAFI)

Menguruskan sebuah kumpulan jemaah yang terdiri daripada pelbagai latar belakang jemaah nya yang daripada ada fikrah kepada tiada fikrah bukanlah satu pekerjaan yang mudah. Kadangkala sebagai Amir aku terpaksa mendengar rintihan pihak sana dan sini yang tidak berpuas hati antara satu sama lain. Walaupun pada kaedahnya ialah perkara ini takkan mungkin wujud kerana kita berkumpul adalah kerana Allah dan semuanya demi kerana ingin mendapat keredhaanNya, namun ini bukan semudah teori yang dapat disangka.

Kadangkala aku mula memahami kenapakah rupanya walaupun banyak NGO yang berlainan nama namun mempunyai satu tujuan yang sama tetap tidak dapat mencari satu permuafakatan untuk bekerja bersama-sama. Parti politik yang sama katanya memperjuangkan kepentingan orang Melayu juga tidak mampu untukbersatu untuk mencari satu titik persamaa. Negara-negara arab yang juga menjadi contoh dengan kita mengatakan sebagai lebih Islamik juga turut berperang diantara satu sama lain. Konflik di negara-negara arab juga bukan sahaja diwujudkan oleh pihak luar tetapi yang lebih parah apabila yang menjadi dalangnya adalah mereka yang berada dalam negara itu sendiri. Dengan kata lain rakyat mereka sendiri yang mengaku beragama Islam dan menyembah Allah yang satu.

Bukan lagi menjadi rahsia bila di negara kita Malaysia yang tercinta ini, makin banyak NGO yang wujud terutamanya NGO yang memperjuangkan hak Islam dan orang Melayu. Namun demikian amat susah untuk mereka ini bersatu di bawah satu payung. Kadangkala seakan menjadi masalah bila setiap NGO ini ingin menjuarai isu yang dibuat dan sangat tidak ingin berkongsi isu yang sama walaupun isu ini akan membawa keuntungan kepada kemaslahatan ummah. Ini yang menjadi masalah kepada kewujudan NGO yang ingin bersifat populis dalam menganjurkan pelbagai isu dan program. Bila ada diantara NGO lain yang ingin menagih sokongan kepada sesuatu isu atau program, perkara pertama yang akan mereka fikirkan ialah apakah keuntungan yang akan mereka perolehi dari kerjasama ini? Adakah mereka akan popular atau NGO yang satu lagi akan popular? Dapat tak menambahkan dana kita? Adakah masyarakat akan sedar bahawa isu atau program ini adalah hasil dari kita?

Melihat kepada pertikaian dan apa yang mereka fikirkan bila membuat keputusan untuk bersama dengan NGO lain membuat kan aku rasa sungguh keji terhadap tindakan dan pemikiran mereka ini. Hingga kini aku paham kenapa banyak sangat NGO wujud di Malaysia ini. Anatar sebab nya bila NGO yang ada ini lebih memikirkan keuntungan politik dan ingin popular dan langsung tidak mahu ada sekumpulan orang lain (orang baru) yang menganggotai NGO ini akan menenggelamkan mereka orang lama. Sedangkan mereka sendiri perlu sedar bahawa persatuan atau pertubuhan bukanlah hak milik individu sebaliknya ia adalah satu entiti yang menggabungkan pernyataan dan permuafakatan sebahagian ahli yang terlibat dalam NGO tersebut.

Jika perkara ini terjadi pada NGO yang bersifat bukan agama mungkin aku tidak berapa kisah sangat terutamanya yang melibatkan parti politik. Tapi yang menjadi satu perkara yang bukan sahaja membuatkan aku serabut malahan para pemerhati mendapati ia menjangkiti semakin banyak NGO yang berteraskan Islam. Persoalan siapa lebih Islamik dan siapa yang sekular, siapa yang di belakangnya parti politik dan siapa di belakangnya pemusnah agama Islam juga sering dipersoalkan.
  
Bila aku memikirkan isu-isu dan perkara ini barulah aku sedar bahawa apa yang kumpulan Usrah aku alami merupakan 'sample' daripada 'populasi' masalah yang melanda masyarakat zaman kini. Dan jika ia menjangkiti kumpulan Usrah dan pertubuhan yang aku uruskan ini barulah aku sedar bahawa ia bukan perkara mudah untuk seorang pemimpin untuk mengatasi masalah berkaitan dengan jemaah.

Sebagai seorang pemimpin, aku perhatikan semua NGO dan pertubuhan yang ada perlu bersifat lebih matang dan perlu sentiasa bermuhasabah dengan matlamat sebenar perjuangan kita? Redha siapa yang ingin kita cari? Popular di mata manusia? Atau popular di mata Allah dan seluruh penghuni langit. Wallahualam

No comments:

Post a Comment